HUBUNGAN KEMAHIRAN BERFIKIR PELAJAR DENGAN KEMAHIRAN KEUSAHAWANAN

 


Dalam kajian ini, para penyelidik telah mendapati bahawa tahap kemahiran berfikir para pelajar di Tawau, Sabah masih lagi berada pada tahap yang tidak memuaskan. Hal ini dikatakan demikian kerana setelah beberapa kajian yang dilakukan oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia dan juga para penyelidik itu sendiri, mereka mendapati bahawa hampir 30% murid masih lagi tidak mampu untuk menjawab soalan bukan rutin (Mohd Nasir Rayung & Abdul Said Ambotang, 2018).

Soalan bukan rutin ini bermaksud soalan-soalan yang berkaitan dengan pembelajaran di dalam kelas tetapi ia ada mengaplikasikan konsep sesuatu topik itu di dalam kehidupan seharian murid-murid. Dapatan ini juga menunjukkan bahawa pelajar sering kali menghadapi masalah untuk menyelesaikan tugasan yang berkaitan dengan soalan bukan rutin ini. Sebagai contoh, tugasan kerja kursus, projek sekolah dan lain-lain lagi. Masalah ini membuktikan bahawa mereka jarang menggunakan kemahiran berfikir secara kritikal dalam menyelesaikan sesuatu masalah dalam mana-mana tugasan yang diberikan oleh para guru. Perkara ini amatlah tidak selari dengan matlamat utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) di mana ianya memberi penekanan yang sangat jitu untuk melahirkan pelajar yang berdaya saing serta berfikiran kreatif dan kritis menjelang abad yang ke-21. 

Namun, persoalannya di sini ialah adakah pembelajaran atau kemahiran keusahawanan di dalam kelas mampu membuatkan pelajar dapat berfikir dengan lebih kritis? 

   Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk menentukan hubungan secara langsung atau tidak langsung antara kemahiran keusahawanan dengan kemahiran berfikir para pelajar. Kajian ini telah menggunakan teknik kuantitatif di dalam metodologinya yang mana kajian ini dijalankan melalui tiga cara:

·      Pertama adalah tinjauan berdasarkan borang soal selidik. Tinjauan ini dilakukan untuk mengukur tahap antara dua kemahiran tersebut iaitu kemahiran keusahawanan dengan kemahiran berfikir pelajar.

·      Kedua adalah dengan menggunakan Statistical Package for Social Science (SPSS). SPSS ini ialah merupakan salah satu software yang digunakan untuk menilai data demografi para responden dalam kajian ini.

·      Ketiga adalah penggunaan Structural Equation Modelling (SEM). SEM ini juga merupakan salah satu software yang sama seperti SPSS. Software ini digunakan untuk menilai kesimpulan bagi keseluruhan kajian.

   Menerusi ketiga-tiga cara ini, dapatan kajian telah menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang positif antara kemahiran keusahawanan dengan kemahiran berfikir para pelajar. Hal ini telah membuktikan bahawa faktor peningkatan kemahiran berfikir pelajar adalah dipengaruhi juga oleh kemahiran keusahawanan dalam sesuatu pembelajaran. Oleh itu, para penyelidik telah membuat kesimpulan bahawa kemahiran keusahawanan ini adalah wajar dilaksanakan atau diselitkan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. Ini kerana statistik hasil kajian ini menunjukkan bahawa kurikulum seperti ini akan banyak membantu perkembangan kognitif dan juga daya kreativiti serta pemikiran para pelajar terhadap sesuatu topik yang dipelajarinya di dalam kelas. 

 

RUJUKAN

Mohd Nasir Rayung & Abdul Said Ambotang. (2018). Hubungan kemahiran keusahawanan, kemahiran pengurusan dan pembelajaran sepanjang hayat terhadap kemahiran berfikir kritikal pelajar tingkatan enam. Jurnal Kinabalu. (24), 57-79, https://doi.org/10.51200/ejk.vi.1660.


Comments